Telah sebulan lebih, sepemergian arwah atuk, HJ MOHD Tahir Bin Jamaluddin. pulangnya saya ke kampung, banyak mengimbau kembali kenangan bersama beliau, sejak dari saya kecil hingga dewasa, dari dia sihat hingga sakit dan juga dari beliau hidup sehingga meninggal. Hati sentiasa sebak tiap kali teringatkan beliau, tapi sejauh yang boleh pergi hanyalah lelehan air mata, tidak lebih dari itu. Saat yang paling sebak ialah apabila masuk melihat jenazah arwah di bilik rawatan rapi, pagi jam 8. Hanya air mata yang keluar, tidak sanggup nak menangis kerana melihat adik, mak, nenek dan mak saudara yang bercucuran air mata dan menumpang di bahu saya untuk ditenangkan. Dari saat itu, tersimpannya tangisan buat atuk, sehinggalah kini. kini diri ini seakan tidak reti mahu menangis walaupun setiap kali terkenangkan beliau, hati ini menjadi pilu. Semoga beliau di tempat bersama-sama orang yang beriman, ameen.
Pulang ke kampung, apabila terlihat kerusi roda yang berbalut plastik, teringat betapa gembiranya dia apabila mendapat kerusi roda itu buat kali pertama. seronok dia dapat dibawa ke hulu dan ke hilir kerana sebelum ini, dia hanya terlantar di katil. Tiap kali masuk ke bilik air, terpandangkan besi pemegang yang di pasang oleh paklang saya di dinding, teringat akan dia ketika saya memandikannya. Masuk kebilik, terpandang akan penghawa dingin, teringat betapa suka dia berada dalam sejuk. sejak pemergiannya, penghawa dingin tersebut tidak pernah lagi berfungsi, kerana ianya dipasang semata-mata untuk dia. terpandangkan katil yang digunakannya semasa di hujung usia, teringat bagaimana kami membangunkan dia untuk makan, memakaikan pakaiannya. kini rumah itu sepi, tanpa ada suara atuk yang mengejutkan untuk bangun solat subuh di dinihri, menyuruh mandi apabila senja melabuhkan tirai, memberikan nasihat atau menceritakan pengalamannya semasa makan. Teringat pesan beliau, sentiasa mengingatkan saya supaya tidak lupa sedekahkan Al-Fatihah lepada arwah ayah tiap kali selesai solat. katanya apabila atuk atau nenek dah takde nanti jangan lupa sedekahkan kepada mereka sekali. Al-Fatihah buat atuk.
Semasa kecil, saya banyak menghabiskan masa dengan atuk dan tinggal bersamanya. dulu kalo saya menangis tak boleh tidur, atuk akan menyorong saya di dalam kereta sorong berjalan ke sekeliling taman. sampai kalo dulu, satu taman tahu tentang cucu dia yang sorang ni. hmm terlampau banyak kenangan kalo nak disingkap semuanya. yang pergi tetap akan pergi, yang hidup perlu meneruskan perjalanan di bumi Allah ini. berbaktilah kita kepada mereka sebolehnya. menyesal di kemudian hari tidak berguna. baiklah, takmo sedih sedih dah. kena cari kitab La Tahzan kalo sedih lagi, ehehe.
Tuesday, December 26, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment